AMALAN SEPANJANG BULAN RAMADHAN

Maklumat Setempat | 25 April 2020

AMALAN SEPANJANG BULAN RAMADHAN

Ramadan ialah bulan yang ditunggu-tunggu oleh seluruh umat islam saban tahun. Bulan ini bukan hanya tertumpu kepada ibadah puasa semata-mata, malah ia merupakan ‘Bulan Ibadah’ yang dijanjikan pahalanya berlipat kali ganda.

Berikut adalah disertakan antara amalan-amalan yang mempunyai ganjaran istimewa jika dilaksanakannya dalam bulan mulia ini :

– Mendirikan Qiam al-Lail

Dengan kasih sayang dan rahmat-Nya, Allah Ta’ala menghadiahkan kepada umat-Nya satu malam yang istimewa di bulan Ramadhan, malam yang barangsiapa menghidupkannya, akan diampuni dosanya yang telah lalu (HR. Bukhari).

Bahkan mendapat pahala yang berlipat ganda yang lebih baik dari amalan seribu bulan. Pahala seperti ini hanya ada pada malam itu. Allah Ta’ala berfirman tentangnya (yang bermaksud), “Malam Lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan”
( Al Qadar : ayat 3).

Rasulullah saw menghidupkan malam laitul qadar dan menganjurkan umatnya untuk menghidupkannya. Oleh karena itu, mari kita berlumba-lumba untuk menghidupkan malam laitul qadar dengan memperbanyak amalan-amalan ibadah padanya.

– Melewatkan Sahur Dan Menyegerakan Berbuka Puasa

Antara amalan sunat lain di bulan Ramadhan ialah mempercepatkan waktu berbuka sebaik terbenam matahari.
Seperti Sabda Rasulullah SAW:
“Kekallah umatku dengan kebaikan sebagaimana mereka mempercepatkan berbuka puasa.” (HR. Bukhari & Muslim)

Dan disunatkan juga berbuka dengan tamar / kurma. Jika tiada bolehlah berbuka dengan air.

– Memperbanyakkan Berdoa Di Bulan Ramadhan.

Doa orang yang berpuasa adalah mustajab kerana orang berpuasa kerana Allah mempunyai kedudukan yang tinggi dan istimewa di sisi Allah SWT.

– Membaca al-Quran

Bulan Ramadhan adalah bulan al-Quran. Pada bulan Ramadhan, al-Quran diturunkan. Allah Ta’ala berfirman, “Bulan Ramadhan, bulan yang diturunkan di dalamnya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang haq dan yang bathil)”
(Al Baqarah : ayat 185)

Pada bulan Ramadhan, Jibril a.s menemui Rasulullah saw untuk bersama membaca dan mengulangi bacaan al-Quran. Di bulan Ramadhan, para Sahabat dan salafus soleh berlumba-lumba mengkhatamkan al- Quraan, baik dalam bacaan solat ataupun bacaan di luar solat.

– Bersedekah

Rasulullah SAW sememangnya baginda dikenali sebagai seorang yang dermawan. Sifatnya itu semakin terserlah apabila tiba di bulan Ramadan. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA yang bermaksud:
“Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadan saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al Qur’an. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.”
[HR. Bukhari]

Sumber : Jabatan Mufti Negeri Sembilan

#ramadhankareem
#stayathome
#staysafe
#covid19